KUALA LUMPUR: Tawaran iklan yang dilakukan mana-mana ejen pembantu rumah yang boleh membekalkan tenaga pekerja berkenaan dalam kadar segera dan singkat kepada pelanggan adalah tidak masuk akal.
Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA), Datuk Foo Yong Hooi berkata, proses pengambilan pekerja asing sepatutnya akan mengambil masa antara tiga hingga enam bulan.
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan tawaran pekerja asing dalam media sosial.
“Kita mendapati wujud sindiket yang mengambil kesempatan terhadap orang ramai yang terdesak untuk mendapatkan pekerja asing disebabkan sekatan kemasukan oleh kerajaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
“Mereka buat iklan tawaran pekerja asing segera bagi menarik minat orang ramai. Jadi, mereka yang berminat akan menghubungi sindiket itu sebelum menyedari ditipu,” katanya dalam sidang akhbar di Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA di sini, hari ini.
Foo berkata, terdapat lebih 600 agensi pekerjaan asing yang beroperasi secara sah di negara ini.
Katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan pekerja asing termasuk pembantu rumah perlu menyemak syarikat berdaftar menerusi laman sesawang Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
“Sekiranya anda mendapatkan khidmat pembantu rumah syarikat tidak berlesen, ia secara tidak langsung anda terbabit aktiviti pemerdagangan manusia,” jelasnya.
Beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengambil pekerja asing.-UTUSAN