Tambahan 11 PEDi di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Tambahan 11 PEDi di Negeri Sembilan

FAHMI Fadzil menyampaikan Pakej Perpaduan (Prabayar) kepada seorang pelajar pada pelancaran program Kita Madani Peringkat Negeri Sembilan di Kampung Seri Batu 8, Labu, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak RM2 juta peruntukan tambahan setahun disediakan pihak Kementerian Komunikasi dan Digital bagi pembinaan dan pengoperasian 11 buah lagi Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di Negeri Sembilan. 

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, proses pembinaan PEDi berkenaan sedang dilaksanakan ketika ini iaitu di Ampangan, Sikamat, Temiang, Johol, Kuala Pilah, Seri Menanti, Bukit Kepayang, Mambau, Rahang, Seremban Jaya dan Chuah.

“Saya dimaklumkan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pada waktu ini kita ada 51 PEDi di seluruh Negeri Sembilan, insya-Allah ada 11 buah lagi akan dibina, ia akan ada implikasi kewangan kepada SKMM sebanyak RM2 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Kita Madani Peringkat Negeri Sembilan di Kampung Seri Batu 8, Labu di sini hari ini.

Program berkenaan sempena lawatan kerja dua hari beliau ke negeri ini yang bermula semalam, termasuk melawat PEDi Palong 11 yang mengalami kerosakan akibat ribut pada 25 Jun lalu.

“Saya telah umumkan bantuan sebanyak RM50,000 dari pihak kementerian bersama RM50,00 dari Ahli Parlimen Jempol untuk tujuan baik pulih,” katanya.

Tambah beliau, SKMM kini dalam proses bagi menjalankan aktiviti PEDi di lokasi sementara bagi memastikan komuniti setempat menikmati kemudahan perkhidmatan PEDi.

Sementara itu, Fahmi berkata, sebanyak 1,878 Komuniti Madani telah ditubuhkan di seluruh negara dan 108 daripadanya adalah di Negeri Sembilan yang melibatkan 36 kawasan DUN.

“Komuniti MADANI merupakan badan sukarela terdiri daripada pelbagai kaum yang ditadbir urus oleh Jabatan Penerangan Malaysia untuk menyalurkan informasi yang tepat dan sahih serta menyebar luas inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan ke peringkat akar umbi secara berterusan. 

“Komuniti MADANI juga berfungsi sebagai platform untuk menjelaskan dan menangani isu, fitnah dan berita palsu justeru kerajaan amat mengalu-alukan penyertaan aktif masyarakat melalui Komuniti Madani untuk menyampai dan menjelaskan maklumat yang sahih, telus dan bermanfaat,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN