DUNGUN: Pengunjung di kawasan Taman Rekreasi Tasik Puteri Bukit Besi, dekat sini, mahu pihak berwajib menaik taraf taman permainan di kawasan tersebut yang usang dan tidak selamat untuk kanak-kanak.
Tinjauan di taman permainan itu mendapati kebanyakan peralatan berkarat termasuk gelongsor yang pecah dan berlubang serta mengundang bahaya terhadap pengguna.
Salah seorang pengunjung, Aisyah Ahmad, 34, dari Kampung Besol, berkata, dia sering membawa dua anaknya bermain ke taman permainan tersebut setiap hujung minggu meskipun sedar bahaya menanti, berikutan tiada kemudahan seumpama itu di kawasan berhampiran.
“Kalau ikutkan memang bahaya sebab ada gelongsor yang pecah, kalau kanak-kanak guna gelongsor tu, mungkin boleh tercucuk besi punggung mereka.
“Saya memang sentiasa tengok anak ketika bermain dan melarang mereka menggunakan peralatan yang rosak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Seorang lagi pengunjung, Khairul Hafizi Ramli, 39, berkata, dia yang menjadi pengunjung tetap kawasan itu untuk beriadah bersama keluarganya melarang anak-anaknya bermain di taman permainan tersebut.
“Saya sering ke taman ini untuk berjoging bersama anak-anak. Saya tengok memang ramai kanak-kanak menggunakan taman permainan tersebut, memang bahaya kalau tidak diawasi ibu bapa.
“Ada dua buah taman permainan di kawasan ini, namun dua-dua tidak diselenggara dengan baik. Sepatutnya taman permainan itu digantikan atau ditutup sementara kerana bimbang kalau-kalau menyebabkan kecederaan,” katanya.
Taman Rekreasi Bukit Besi merupakan lokasi riadah kunjungan ramai dengan pelbagai tarikan lain termasuk kawasan perkelahan air terjun.-UTUSAN