JERLUN: Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir menepis dakwaan kononnya beliau adalah calon luar sebaliknya kawasan berkenaan sebenarnya merupakan kampung halamannya sendiri.
Katanya, Jerlun khususnya adalah kampung halaman kedua ibu bapanya dan beliau telah membesar di sini dan kepulangan kali ini sebagai calon membuka peluang kepadanya untuk berbakti kepada penduduk di sini.
Malah katanya, beliau juga mempunyai saudara mara yang ramai di sini sekali gus tidak timbul isu pencalonan dari calon luar ini.
“Ada orang bermain sentimen mengatakan saya orang luar. Saya membesar di sini, belajar di sini dan apabila habis belajar berhijrah ke Lumpur Lumpur dan takdir Allah SWT dengan pencalonan ini saya pulang semula ke kampung halaman untuk berbakti kepada penduduk sini,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu di sini hari ini.
DUN Kota Siputeh bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan
Mohd. Ashraf, penyandang, Dr. Salmee Said dari Pakatan Harapan (PH) dan calon Bebas,
Abdul Ramli.
Sebelum ini, media melaporkan, sebahagian daripada ahli Bersatu kawasan itu tampil membuat bantahan dan menolak pencalonan berkenaan ekoran rasa kurang senang ahli yang mendakwa calon daripada Bersatu, Mohd. Ashraf yang diumumkan mewakili kerusi berkenaan bukan penduduk tempatan.
Dakwa kumpulan berkenaan, mereka mahu orang yang berada di DUN Kota Siputeh yang menjadi calon iaitu Abdul Ramli merangkap Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di situ.
Sementara itu, Mohd. Ashraf berkata, beliau bakal memberi fokus kepada aspek pembangunan di kawasan berkenaan yang mempunyai potensi cukup besar.
“Saya berharap sokongan seluruh pengundi terutama anak muda yang mewakili komposisi 60 peratus pengundi di DUN Kota Siputeh ini,” katanya.-UTUSAN