KUALA LUMPUR: Tindakan seorang tahanan lelaki yang meloloskan diri dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berjaya diberkas semula selepas empat jam melarikan diri, semalam.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.40 pagi ketika apabila suspek berusia 45 tahun itu hendak menaiki lori untuk dibawa ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek sepatutnya dibawa bagi pertuduhan mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, susulan itu, pihaknya melancarkan Op Cari sebelum mengesan suspek di Jinjang pada 1.50 petang, hari sama.
“Di tengah kesibukan kota Kuala Lumpur adalah amat sukar untuk kita mengesan dan menangkap semula suspek, namun, dengan berbekalkan kelebihan yang ada dia (suspek) ini dapat ditahan dalam tempoh empat jam selepas dia melarikan diri.
“Selain itu, pihak polis turut menjalankan siasatan terhadap enam anggota polis yang terbabit penugasan membawa suspek dari IPD Dang Wangi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti sama ada wujud kelalaian dalam melaksanakan tugas oleh anggota.
“Kertas siasatan sudah dibuka dan kita kemudian akan menimbang tindakan yang bakal diambil terhadap anggota polis terbabit sekiranya didapati mereka cuai atau lalai,” katanya.
Terdahulu, tular dua video di aplikasi Telegram yang menunjukkan suspek melarikan diri dengan memanjat pagar belakang IPD Dang Wangi dan melintas jalan di hadapan Kompleks Wilayah menuju ke arah pusat beli-belah Jakel.-UTUSAN