Suspek samun wanita guna parang diberkas - Utusan Malaysia

Suspek samun wanita guna parang diberkas

KEADAAN kesihatan Rahmah semakin baik selepas disamun seorang lelaki, Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang lelaki yang disyaki menyamun dan mencederakan seorang wanita menggunakan parang di Felda Air Tawar 4, Ahad lalu berjaya diberkas. 

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu turut positif dadah serta mempunyai rekod jenayah lampau. 

“Pada hari yang sama pukul 9 malam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Kota Tinggi telah berjaya melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an.

“Suspek ditahan di sebuah rumah di Felda Air Tawar 4, dipercayai terlibat dalam kejadian ini. Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine serta turut memiliki dua rekod dadah dan dua rekod jenayah lampau.

“Suspek kini tahanan reman selama tujuh hari hingga 9 Julai bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ekoran tangkapan itu, pihak polis berjaya menemukan semula rantai tangan emas yang disamun serta merampas parang dan pakaian yang digunakan suspek dalam kejadian itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam kejadian pukul 12.40 tengah hari Ahad lalu, seorang wanita, Rahmah Mohd. Johan, 60,  yang sedang tidur sendirian di rumahnya di Felda Air Tawar 4, cedera pada bahagian dagu akibat dilibas dengan sebilah parang oleh seorang lelaki bertopeng yang menyamun rantai tangan emasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya