PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli Dewan Diraja Selangor atas tindakan membuat laporan polis ekoran kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dianggap menghina dan mempertikaikan kewibawaan institusi diraja Selangor.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda juga amat berbesar hati di atas sokongan ditunjukkan oleh ahli-ahli Dewan Diraja Selangor dan semua pihak berkaitan.
“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli Dewan Diraja Selangor yang bertindak membuat satu laporan polis pada 14 Julai lalu.
“Ia susulan daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam satu ceramah beliau yang dianggap menghina dan mempertikaikan kewibawaan institusi Diraja Selangor berhubung pemilihan jawatan Menteri Besar Selangor.
“Duli yang maha mulia tuanku juga amat berbesar hati di atas sokongan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Dewan Diraja Selangor serta semua pihak yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada minggu lalu, ahli Dewan Diraja Selangor menuntut Muhammad Sanusi agar segera membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu mengeluarkan kenyataan didakwa memperlekeh Sultan Selangor berhubung pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.
Gesaan itu dibuat lima ahlinya iaitu Tan Sri Ambrin Buang; Tan Sri Mohd. Zawawi Salleh; Datuk Mohammed Khusrin Munawi; Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa dan Datuk Emran Kadir yang hadir membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam.
Mereka menyifatkan kenyataan Muhammad Sanusi disifatkan satu penghinaan kepada Institusi Diraja Selangor kerana membabitkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang seolah-olah tidak wajar atau tepat.
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah anjuran Perikatan Nasional (PN) didakwa mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Sultan Selangor.
Sebaliknya beliau memohon ampun dan maaf kepada Sultan Selangor berhubung kenyataan itu yang didakwa memperlekehkan baginda berhubung pemilihan Menteri Besar.
Terdahulu, Selangor Royal Office memaklumkan, Sultan Sharafuddin Idris bertitah isu membabitkan Menteri Besar Kedah itu masih belum selesai.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Sultan Sharafuddin Idris berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.-UTUSAN