JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menghadiri Majlis Penghargaan Yayasan-Yayasan Diraja Johor dan melancarkan buku serta portal Kesultanan Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.
Berangkat sama, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Tun Aminah dan suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman serta Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani; Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli serta barisan Exco negeri.
Dalam majlis tersebut, Onn Hafiz turut menyampaikan sumbangan kepada setiap Yayasan Diraja Johor bagi menyantuni golongan sasar dalam aspek pendidikan, kebajikan dan keusahawanan.
Yayasan tersebut ialah Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ), Yayasan Sultanah Rogayah (YSR) dan Yayasan Sultanah Fatimah (YSF).
Sementara itu, Portal Kesultanan Johor yang baharu dilancarkan berperanan sebagai hab rujukan serta perkongsian informasi mengenai Kesultanan Johor.
Buku Takhta Johor pula mengabadikan pelbagai gambar sepanjang 10 tahun pertama pemerintahan Sultan Ibrahim sejak menaiki takhta sebagai Sultan Johor pada tahun 2010, manakala buku ‘Sultan Abu Bakar – Monarch, Reformer, Diplomat’ pula mencatatkan kisah ‘Bapa Johor Moden’ serta memperincikan pemerintahan tersohor baginda.
Sementara itu, buku ‘Taat dan Setia: Almarhum Sultan Ismail Johor Dalam Kenangan’ pula mengabadikan kisah baginda sebagai seorang Sultan yang adil, bijaksana serta amat menyayangi rakyatnya yang berbilang kaum. – UTUSAN