STPM: Perlis catat sejarah, tujuh sekolah rekod GPS atasi peringkat kebangsaan

STPM: Perlis catat sejarah, tujuh sekolah rekod GPS atasi peringkat kebangsaan

NAHARUDEEN Othman (belakang, tiga dari kiri) bergambar bersama calon yang meraih keputusan cemerlang STPM dalam pengumuman keputusan peperiksaan itu di SMK Putra, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis mencatat sejarah tersendiri apabila tujuh daripada sembilan buah sekolah merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) mengatasi peringkat kebangsaan dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.

Tujuh buah sekolah tersebut adalah membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Perempuan, SMK Syed Alwi, SMK Putra, SMK Derma, SMK Tengku Suleiman, SMK Agama Arau dan SMK Perlis.

Pengarah Pendidikan negeri, Naharudeen Othman berkata, selain itu, seramai 13 calon STPM 2022 di negeri ini telah meraih keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

“Perlis kekal mencatatkan keputusan STPM 2022 yang terbaik dalam Gred PNGK negeri dan kebangsaan dengan 2.92, malah terdapat lapan buah sekolah berjaya merekodkan keputusan lulus penuh 100 peratus berbanding enam buah sekolah pada tahun lalu.

“Selain itu, seramai 207 calon STPM 2022 di negeri ini juga direkodkan meraih keputusan PNGK 3.00 ke atas,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan STPM peringkat di negeri ini di SMK Putra di sini hari ini.

Dalam pada itu, Naharudeen berkata, seramai 450 calon telah mendaftar bagi menduduki peperiksaan STPM di negeri ini di mana seorang daripadanya merupakan calon persendirian.

Katanya, bilangan calon yang hadir menduduki peperiksaan STPM 2022 adalah seramai 443 berbanding 379 pada tahun sebelumnya.

“Daripada keseluruhan calon yang hadir menduduki peperiksaan STPM 2022 di negeri ini, 442 calon meliputi 99.77 peratus didapati lulus penuh dan tiada calon yang gagal,” katanya.

Di samping itu, Naharudeen berkata, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia bersama Jabatan Pendidikan negeri sebelum ini bagi memastikan calon yang menduduki STPM 2022 meraih keputusan cemerlang.

Tambahnya, antara usaha yang dilakukan adalah termasuk dengan mengadakan jadual peperiksaan ganti kepada calon yang terkesan dengan Covid-19.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN