STPM: 160 pelajar raih PNGK 4.00 di Johor - Utusan Malaysia

STPM: 160 pelajar raih PNGK 4.00 di Johor

PARA pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab, Kota Tinggi meraikan kejayaan masing-masing sejurus pengumuman STPM 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 160 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 di negeri ini berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Pengarah Pendidikan negeri, Md. Said Md. Daimon berkata, jumlah itu meningkat seramai 37 orang berbanding 123 calon pada 2021 dan membabitkan 3.71 peratus daripada seramai 4,192 calon yang menduduki peperiksaan tersebut.

Katanya, calon yang mendaftar untuk menduduki STPM 2022 adalah seramai 4,311 calon, bertambah sebanyak 3.78 peratus (157 calon) daripada 4,154 calon yang mendaftar STPM 2021 dan daripada jumlah itu, 4192 calon telah hadir untuk menduduki peperiksaan.

“Pencapaian keseluruhan calon STPM 2022 menunjukkan peningkatan apabila  PNGK STPM 2022 ialah 2.93 mengatasi PNGK Kebangsaan, iaitu 2.82.

“Dari segi pencapaian PNGK calon secara keseluruhan, peratusan kelompok calon STPM 2022 pada PNGK 3.75 hingga 3.99 ialah 7.96 peratus), PNGK 3.00 hingga 3.74 (37.72 peratus), PNGK 2.75 hingga 2.99 (13.55 peratus), dan PNGK 2.00 hingga 2.74 (27.23 peratus). 

“Mengikut peratusan bilangan calon pada PNGK, dijangka tiada halangan lebih ramai calon lepasan STPM 2022 diterima masuk ke universiti awam pada tahun ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Md. Said berkata, bagi keputusan STPM 2022, bilangan calon yang mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil adalah seramai lima calon, manakala bilangan calon yang mengambil empat mata pelajaran dan mendapat 4A seramai 147 calon.

Katanya, perbezaan jurang pencapaian antara calon bandar dengan luar bandar adalah sebanyak 0.09 dengan calon bandar mendapat PNGK 2.91, manakala calon luar bandar memperoleh PNGK 3.00.

“Dalam pada itu, peratusan calon STPM 2022 yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran adalah 79.10 peratus berbanding 75.04 peratus pada 2021,” katanya.

Semua calon boleh mendapatkan keputusan STPM 2022 menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM<jarak>No.K/P<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 15888 dan slip keputusan penuh juga boleh diperoleh menerusi pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpmK. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN