SKSSR memastikan kesejahteraan suri rumah di Malaysia

SKSSR memastikan kesejahteraan suri rumah di Malaysia

DR. MOHAMMED AZMAN AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA masih ingat artikel saya pada awal tahun ini yang menekankan kepentingan perlindungan sosial buat kaum wanita serta kaedah mengurangkan ketidaksamaan dalam penggunaan masa bagi urusan rumah tangga antara lelaki dan wanita.

Walaupun banyak masa dan tenaga dicurahkan oleh kaum wanita dalam menguruskan keluarga, terdapat juga tanggapan yang mengelirukan bahawa kerja penjagaan ini mempunyai nilai ekonomi yang terhad.

Malah, di peringkat global, menurut Laporan Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) ke-111 yang disediakan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) baru-baru ini, pekerja domestik dan suri rumah telah diiktiraf sebagai kumpulan berisiko tinggi yang dipinggirkan tanpa mendapat perlindungan sewajarnya.

Oleh itu, saya percaya bahawa kita memerlukan anjakan minda apabila berfikir mengenai nilai serta risiko dalam pengurusan rumah tangga dan pekerjaan domestik.

Golongan suri rumah turut terdedah kepada pelbagai risiko seperti bencana domestik dan keilatan. Jadi, mereka juga mestilah diberikan perlindungan keselamatan sosial yang menyeluruh sekiranya berlaku kemalangan.

Kes kemalangan di rumah yang tidak dijangka sudah menjadi kebiasaan. Contohnya, satu kejadian yang menimpa seorang ibu tunggal dari Georgetown, Pulau Pinang, di mana silinder gas memasak di rumahnya meletup akibat kebocoran.

Beliau telah mengalami kecederaan melecur hampir di seluruh badan dan disahkan meninggal dunia dua hari selepas kejadian tersebut. Malangnya, beliau tidak dilindungi di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) PERKESO.

Setakat ini, PERKESO telah merekodkan 115 kematian suri rumah berdaftar, di mana keluarga mereka telah menerima faedah PERKESO, termasuklah Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.

Seterusnya, mari kita buat perbandingan untuk memahami kekerapan kemalangan berkaitan aktiviti pengurusan rumah tangga.

Pada tahun 2022, terdapat lebih daripada 7,300 kemalangan telah dilaporkan kepada PERKESO yang melibatkan pekerja domestik yang mengurus rumah tangga seperti kerja pembersihan, memasak, penjagaan, memandu dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, sejak penubuhan SKSSR oleh PERKESO, hanya 26 kes bencana domestik melibatkan suri rumah dilaporkan.

Statistik tersebut menunjukkan kurangnya laporan kemalangan walaupun suri rumah menguruskan kerja yang sama seperti pekerja domestik.

Selain itu, norma baharu di tempat kerja termasuklah pengaturan “Bekerja dari Rumah” telah meletakkan wanita yang dalam pekerjaan formal di bawah tekanan yang lebih tinggi kerana perbezaan yang tidak ketara antara waktu pejabat dan masa untuk menjalankan tanggungjawab rumah tangga.

Peningkatan pelaksanaan berbilang tugas (multitasking), tekanan, gangguan dan keletihan adalah faktor yang boleh menyumbang kepada potensi kemalangan dan bahaya apabila melakukan tugas-tugas domestik.

Realitinya lebih menyedihkan bagi golongan isi rumah yang lebih miskin. Suri rumah yang tinggal di tempat kediaman yang tidak diselenggara dengan baik tededah kepada risiko kemalangan yang tinggi kerana kekurangan akses kepada keselamatan dan kesihatan.

Masalah elektrik dan kerosakan struktur boleh meningkatkan kadar kemungkinan berlakunya kemalangan. Oleh yang demikian, perlindungan kepada suri rumah ini hanya lagi berkenaan jaminan pendapatan semasa kemalangan; tetapi juga, atas inisiatif dan kesedaran pencegahan.

Sehubungan dengan itu, saya percaya bahawa SKSSR PERKESO adalah peluang terbaik buat golongan suri rumah mendapatkan akses kepada perlindungan sosial demi menjamin kesejahteraan hidup, selain memberikan pengiktirafan atas sumbangan mereka.

Untuk menjamin persekitaran masyarakat yang saksama dan adil, adalah penting untuk lebih ramai suri rumah mengambil peluang mendaftar di bawah skim ini.

Dengan menggalakkan pendaftaran SKSSR, secara tidak langsung ia juga dapat menjamin kesejahteraan hidup golongan suri rumah, seterusnya membantu institusi keluarga dalam menghadapi kejutan pendapatan, sekiranya terjadi di masa hadapan.

Marilah kita bersatu dalam meningkatkan kesedaran dan membina sebuah masyarakat yang cakna ke arah melindungi golongan suri rumah yang memainkan peranan tidak ternilai ini.

Dr. Mohammed Azman Aziz adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya