SHAH ALAM: Lebih 4,000 pengunjung memeriahkan ‘Pasar Loka Klasik’ di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang dianjurkan bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada pelajar tahfiz di Ma’ahad Tahfiz Teduhan Kasih (MTTK).
Selain kutipan dana, program anjuran mahasiswa tahun akhir bidang perhubungan awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) itu bertujuan mendidik tentang perniagaan barangan antik yang mempunyai peminatnya tersendiri.
Ketua projeknya, Hazwien Aifa Hisham dalam satu kenyataan berkata, terdapat pelbagai acara mengisi program tersebut seperti pertunjukan Vespa, mewarna batik, permainan tradisional serta persembahan muzik klasik.
“Pasar Loka Klasik juga bertujuan membangkitkan kesedaran dan kepedulian dalam kalangan mahasiswa UiTM Shah Alam terhadap tanggungjawab sosial korporat.
“Selain itu, ia turut memberi peluang kepada peniaga kecil untuk mengembalikan semula rasa nostalgia terhadap barangan antik dengan memupuk penghargaan terhadap budaya tradisional Malaysia dalam kalangan mahasiswa UiTM,” katanya.
Sementara itu, Dekan FKPM, Prof. Madya Dr. Abdul Rasid Abdul Rahman yang merasmikan program tersebut memaklumkan, walaupun perubahan zaman selaras perkembangan semasa, namun konsep perniagaan retro dan penjualan barangan antik diminati generasi muda. – UTUSAN