Sindiket dadah RM14.4 juta guna bungkusan pencuci pakaian

Sindiket dadah RM14.4 juta guna bungkusan pencuci pakaian terbongkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar taktik terbaharu sindiket pengedaran dadah menggunakan bungkusan sabun pencuci pakaian, dalam empat serbuan di Lembah Klang pada 13 Julai lalu.

Dalam serbuan pada 1.40 pagi hingga 12 tengah hari di Cheras, Kuala Lumpur dan Klang di sini, pihak polis merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM14.4 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, serbuan dijalankan oleh JSJN Bukit Aman dan JSJN Kuala Lumpur di premis kediaman dan rumah kedai yang dipercayai dijadikan stor menyimpan dadah. 

Katanya, siasatan mendapati bekalan dadah itu adalah bagi pasaran tempatan, malah, sindiket dadah itu turut dalam diletakkan dalam bungkusan pencuci pakaian seberat lima kilogram (kg) untuk dihantar ke Sabah dan Sarawak dengan menggunakan perkhidmatan syarikat logistik. 

“Dalam serbuan itu, kita menahan tiga lelaki berusia 32 hingga 61 tahun yang berperanan sebagai koordinator yang juga pemandu e-hailing, pembekal dan penjaga stor. 

“Dadah yang dirampas adalah methamphetamin seberat 56 kg, ketamin (20kg) dan ekstasi (154.3 kg),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Dalam pada itu, menurut Mohd. Kamarudin, siasatan lanjut mendapati sindiket tersebut dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini. 

Jelasnya, bekalan dadah itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran menggunakan jalan darat. 

“Dalam serbuan itu, kita turut menyita empat buah kenderaan iaitu BMW, Perodua Bezza, Lexus, Toyota Vios serta barangan kemas dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM389,166. Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM14.77 juta.

“Saringan awal polis mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah manakala semakan terhadap seorang daripada suspek mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah,” katanya. 

Tambahnya, kesemua suspek direman tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga Khamis ini. 

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. 

Beliau percaya operasi tersebut berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah bagi pasaran tempatan termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kita juga sedang mengesan saki-baki sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Masyarakat yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan ke hotline JSJN di talian 012-2087222,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya