Simpanan asas RM240,000 untuk bersara secara bermaruah

Simpanan asas RM240,000 untuk bersara secara bermaruah

AHMAD Maslan (kiri) beramah mesra dengan kakitangan KWSP semasa mengadakan lawatan ke Pejabat KWSP Kelantan di Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Rakyat yang tiada pekerjaan tetap dan bekerja sendiri di negara ini perlu mempunyai simpanan asas sekurang-kurangnya RM240,000 agar dapat bersara pada usia 55 tahun secara bermaruah.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, simpanan tersebut merupakan anggaran yang boleh dibelanjakan kira-kira RM1,000 sebulan selepas golongan tersebut bersara.

Menurutnya, sehubungan itu, rakyat di negara ini digalakkan untuk membuat caruman i-Saraan menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Caruman i-Saraan boleh dilakukan secara sukarela oleh golongan yang bekerja tidak formal seperti nelayan, peniaga, penoreh getah dan lain-lain dengan memuat turun aplikasi i-Akaun.

“Sehingga bulan lalu, lebih 500,000 rakyat di negara ini mendaftar caruman i-Saraan secara sukarela. Sebelum ini, kerajaan memberi inisiatif sebanyak RM250 dan jumlah itu sudah dinaikkan kepada RM300 kepada pencarum sekiranya mencarum sebanyak RM1,700 hingga RM2,000 setahun,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Bangunan KWSP di sini hari ini.

Ahmad memberitahu, berdasarkan rekod, jumlah rakyat Kelantan yang mencarum i-Saraan masih rendah iaitu seramai 22,240 orang.

Katanya, caruman itu perlu bagi memastikan semua rakyat di negara ini akan mendapat manfaat dan menggunakan simpanan mereka selepas bersara.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, sebanyak 26 kaunter bergerak KWSP dilancarkan pada 4 Julai lalu di Wilayah Timur untuk menghebahkan maklumat berkaitan caruman sukarela itu terutama di kawasan pedalaman.

Katanya, langkah itu bertujuan membantu ahli KWSP dalam bentuk khidmat nasihat berkaitan celik kewangan untuk persaraan yang lebih baik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya