Shahidan sifatkan doa UMNO bergerak solo termakbul

Shahidan sifatkan doa UMNO bergerak solo termakbul

SHAHIDAN Kassim (kiri) semasa berceramah pada program Ceramah Mega Ppakat Pertahan: Pas Pilihanku di Dataran Kijang, Kedia Buluh, Kota Bharu, Kelantan malam tadi. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan doa UMNO untuk bergerak secara solo akhirnya termakbul selepas dua rakan sekutu parti itu dalam Barisan Nasional (BN) iaitu MIC dan MCA untuk tidak bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Shahidan berkata, keputusan kedua-dua parti tersebut dilihat memberikan satu tamparan hebat buat UMNO sekali gus memberi isyarat MIC dan MCA kurang senang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

“Walaupun mereka merasakan kerjasama BN-PH boleh membawa kemenangan tetapi jangan lupa, ahli-ahli mereka memberi sokongan dahulu atas slogan ‘No Anwar, No DAP’ yang kini dengan jelas telah dilanggar oleh pucuk pimpinan UMNO sendiri.

“Oleh itu saya seru ahli UMNO, MIC dan MCA untuk bersama-sama memberi sokongan kepada PN pada PRN kali ini… tunjukkan protes mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program Pentas Alternatif Rakyat Parlimen Pengkalan Chepa sempena Ceramah Mega Ppakat Pertahan: Pas Pilihanku di Dataran Kijang, Pasar Kedai Buluh, di sini malam tadi.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Arau itu memberitahu, beliau mengajak MIC dan MCA untuk memberikan sokongan kepada calon-calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada PRN itu nanti.

Katanya, selain itu ahli UMNO boleh menggunakan PRN di enam negeri itu sebagai medan terbaik menzahirkan protes mereka terdahap keputusan pucuk pimpinan itu menjalinkan kerjasama dengan PH.

“Protes itu boleh dilakukan dengan mengundi calon-calon PN. Untuk makluman semua, kebanyakan ahli UMNO yang saya temui menyatakan rasa geram dan tidak menyokong keputusan kepimpinan mereka untuk bersama-sama Kerajaan Perpaduan.

“Sehingga ke hari ini saya masih bertemu dan berhubung dengan kawan-kawan dari UMNO dan kebanyakannya mengatakan mereka tidak pernah menyokong kerjasama UMNO dan DAP di bawah Kerajaan Perpaduan. Mereka rasa geram malah malu untuk memakai baju UMNO,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau percaya penyertaan beberapa bekas kepimpinan utama UMNO bersama PN akan memberi kesan cukup besar yang akan dapat dilihat pada PRN kali ini.

“Mungkin UMNO mengatakan mereka hanya satu atau dua individu sahaja. Namun jangan lupa kepada hakikat bahawa setiap bekas kepimpinan utama yang dipecat itu masing-masing mempunyai pengikut yang ramai.

“Kerana itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) lalu kita dapat lihat di setiap kawasan yang mana kepimpinan utama UMNO dipecat, BN mengalami kekalahan besar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN