SEREMBAN: Pasukan Sentul Kickers dari Kuala Lumpur muncul juara edisi keenam, kejohanan bola sepak Piala Milo Aidil Zaquan yang diadakan di Bandar Sri Sendayan di sini semalam.
Kejohanan bawah umur 12 tahun dianjurkan oleh Kelab Bolasepak S2 (S2FC) menyaksikan pasukan Ghimau TPFA dari Melaka dari mendapat naib johan manakala Kuantan Tigers muncul pemenang tempat ketiga diikuti Perma FC dari Melaka di tempat keempat.
Presiden S2FC, Mohd. Zafran Abd. Radzak berkata, sebanyak 32 pasukan dari seluruh negara telah menyertai kejohanan berkenaan.
“Penganjuran Milo AZ Cup kali keenam ini merupakan kejohanan tahunan yang dianjurkan untuk pemain peringkat akar umbi di bawah umur 12 tahun.
“Kejohanan pada kali ini telah mendapat sambutan pasukan – pasukan akar umbi dari Negeri Sembilan, Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan, Pahang dan Melaka,” katanya.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim turut hadir menyempurnakan majlis perasmian penutup kejohanan berkenaan.
Dalam ucapannya, Adam Adli turut menekankan kepentingan penganjuran bolasepak peringkat akar umbi dalam memastikan Malaysia tidak ketandusan bakat untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Yang hadir sama, Ketua Cawangan Projek Khas Majlis Sukan Negara (MSN), Shukri Harun, Pengurus Besar Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Muhamad Yusuf Ibrahim dan Penaung S2FC, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak.-UTUSAN.