Sembilan beranak ‘berteduh’ di rumah menanti roboh

Sembilan beranak ‘berteduh’ di rumah menanti roboh

KEADAAN rumah Fatimah Simbi yang menanti masa untuk roboh di Kampung Sembulan Lama, Kota Kinabalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Di sebalik bangunan pencakar langit yang berada di sekitar Kampung Sembulan Lama, tiada siapa menyangka sebuah keluarga tinggal dalam rumah usang yang menunggu masa untuk roboh.

Ada kalanya, mereka terpaksa mengutip papan terbuang untuk memperbaiki lantai dan dinding rumah yang reput.

Itu dugaan dihadapi oleh Fatimah Simbi,49, ibu kepada lapan anak yang tinggal di perkampungan atas air di pusat bandaraya ini.

Beliau berkata, sudah hampir tiga tahun mereka sekeluarga terpaksa tinggal di dalam rumah yang boleh roboh pada bila-bila masa.

“Memang saya ada menerima bantuan peralatan memperbaiki rumah sebelum ini namun, disebabkan bumbung rumah bocor maka, lantai mudah reput. Tiang rumah pun tidak kukuh kerana usia rumah ini sudah hampir 25 tahun.

“Biarpun pernah menerima bantuan tapi, segan juga kalau mahu minta berulang kali. Itulah sebab ada kalanya kami kutip papan terbuang untuk baiki papan yang telah reput.

“Malah,tiga hari lalu, adik saya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) terjatuh disebabkan lantai rumah yang reput,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ibu tunggal yang bekerja di sebuah restoran itu bergantung kepada pendapatan yang sekadar cukup untuk meneruskan kehidupan mereka sekeluarga.

Fatimah bukan hanya tinggal di rumah yang menanti roboh malah, turut bergelap kerana tidak mempunyai bekalan elektrik.

“Memang saya mahu sambung bekalan elektrik tapi, bila fikirkan keadaan rumah yang bocor sana sini, keadaan itu berbahaya kepada anak-anak sekiranya berlaku renjatan elektrik.

“Siapa tidak mahu ada bekalan elektrik tapi, keadaan rumah saya tidak mengizinkan. Justeru, saya memilih untuk menggunakan lilin apabila perlu dan selebihnya kami akan bergelap dan hanya bergantung kepada cahaya dari rumah-rumah jiran.

Menurut Fatimah, anak-anaknya yang berusia 16 hingga 25 tahun tidak habis bersekolah kerana kekangan kewangan yang dihadapi.

Kini, anak-anaknya hanya bekerja sambilan setelah berhenti kerja selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Ketua Penerangan Wirawati Warisan, Izzatul Aini Nissanso berkata, selepas mengadakan lawatan ke rumah wanita berkenaan, beliau melihat rumah tersebut perlu segera diperbaiki.

Justeru, beliau berharap pihak yang datang membantu bukan sekadar memberi papan dan zink tetapi juga, membantu dalam kerja-kerja pembaikan. Keluarga tersebut tidak mampu mengupah tukang untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan rumah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya