PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ditahan polis di satu lokasi di ibu negara awal pagi ini.
Difahamkan, Pengarah Pilihan Raya Pas itu ditahan polis di sebuah hotel penginapan dalam Lembah Klang dan kemudian dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(A) Akta Hasutan 1948.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang pegawai Ahli Dewan Undangan Jeneri itu, Helmi Khalid menerusi rakaman video yang dimuat turun dalam laman Facebooknya pagi ini.
Menurutnya, Muhammad Sanusi ketika itu baharu sahaja pulang dari mesyuarat Perikatan Nasional (PN).
Menurut kronologi ditunjukkan individu tersebut, pada pukul 2.30 pagi dipercayai lebih kurang 20 anggota polis berada di luar pintu bilik penginapan Muhammad Sanusi.
“YAB MB dibawa keluar dari bilik penginapan ke bawah. YAB diarah menaiki sebuah MPV menuju ke Balai Polis IPD Gombak,” dakwanya.
Bagaimana Utusan Malaysia sehingga kini belum lagi mendapat maklumat rasmi berhubung penahanan tersebut.
Muhammad Sanusi hari ini dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang pada pukul 9 pagi.
Perkara itu berdasarkan maklumat laman sesawang mahkamah yang memaparkan nama Muhammad Sanusi beserta prosiding pendakwaan akan dilakukan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah anjuran Perikatan Nasional (PN) didakwa mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Sultan Selangor.
Menerusi video tular tersebut, Muhammad Sanusi turut didakwa meremehkan pelantikan Menteri Besar, Datuk Amirudin Shari.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis menerima 31 laporan di seluruh negara membabitkan kenyataan Muhammad Sanusi yang didakwa mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor.
Sementara itu, Muhammad Sanusi disahkan berdepan pertuduhan mahkamah pada pagi ini.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun kepada Utusan Malaysia sebentar tadi.
“Ya”, jawab dengan ringkas menerusi kiriman WhatsApps ketika ditanya sama ada Muhammad Sanusi akan dituduh pagi ini. –UTUSAN