Samun warga emas, ‘Geng Shafiq’ tumpas - Utusan Malaysia

Samun warga emas, ‘Geng Shafiq’ tumpas

WAN MOHD. ZAHARI Wan Busu (tengah) menunjukkan pakaian lusuh dipercayai dipakai suspek ketika melakukan samun warga emas di sekitar Kuantan, khususnya di kawasan Gambang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Geng samun berkawan dikenali ‘Geng Shafiq’ yang terdiri daripada dua lelaki tempatan berusia 20-an berjaya ditumpaskan dalam dua serbuan berasingan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kedua-dua suspek di tahan di Kampung Pulau Manis, Gambang dan ladang sawit Rasau Blok Keranji, Paloh Hinai, Pekan.

Menurutnya, tangkapan itu dibuat susulan laporan samun membabitkan seorang lelaki warga emas berbangsa Cina di daerah ini.

“Pihak polis menerima laporan kejadian samun, 22 Julai lalu yang mana seorang warga emas disamun dua lelaki tempatan yang menaiki motosikal Yamaha Y15 warna kuning.

“Mangsa yang disamun di sebuah kedai di Kampung Baru Gambang itu mengalami kerugian RM6,000 wang tunai apabila beg pinggangnya disamun suspek.

“Selain itu, mangsa juga menerima empat jahitan akibat luka di bahagian kepala kerana terjatuh semasa berlaku pergelutan dengan suspek,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Wan Mohd. Zahari berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan jenayah samun secara berkumpulan pada waktu siang dengan cara meragut beg pinggang dipakai mangsa sama ada di kedai atau kawasan perumahan.

“Siasatan lanjut terhadap suspek mendapati wang tunai dicuri itu habis digunakan mereka untuk membayar hutang dan membeli dadah.

“Polis mendapati hasil ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek yang merupakan penganggur itu mendapati keduanya positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Tambahnya, dengan tertangkapnya ‘Geng Shafiq’ itu, pihak polis berjaya menyelesaikan satu kes samun terbaharu di daerah ini.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan untuk mendapatkan sejauh mana penglibatan kedua-dua suspek dalam jenayah lain di daerah ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya