Sami, isteri, ibu didenda masing-masing RM2,000 - Utusan Malaysia

Sami, isteri, ibu didenda masing-masing RM2,000

TERTUDUH bersama peguamnya di luar Mahkamah di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Seorang sami berserta isteri dan ibunya masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuat laporan dan keterangan polis palsu berkaitan kes samun melibatkan keluarga tertuduh pada 17 Julai lalu.

Tertuduh R. Velayuthan, 47, bersama isterinya, G. Gunawathi, 42, dan ibunya, C. Parvathy, 83, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Qasiratul Jannah Usmani Othman.

Mengikut kertas pertuduhan tertuduh pertama, Velayuthan didakwa membuat laporan polis palsu di Balai Polis Karak pada pukul 4.53 petang pada 17 Julai lalu.

Tertuduh kedua, Gunawathi dan tertuduh ketiga, Parvathy pula didakwa memberikan keterangan palsu pada 17 Julai lalu kepada pegawai penyiasat Inspektor Noor Farahin Mohd. Dahlan di Balai Polis Karak.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa memperdaya penjawat awam menggunakan kuasanya yang sah di sisi-sisi undang-undang yang mana laporan tersebut boleh mendatangkan bencana atau kegusaran pada mana-mana orang.

Dengan itu tertuduh telah melakukan kesalahan dan boleh dihukum di bawah seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Punitha manakala tertuduh diwakili peguam M. Kabilan.

Punitha meminta hukuman setimpal dikenakan kepada ketiga-tiga tertuduh sebagai pengajaran dan tauladan kepada mereka dan juga orang ramai.

Kabilan kemudiannya meminta hukuman diringankan kerana ketiga-tiga tertuduh tiada rekod jenayah dan memberikan kerjasama yang baik kepada polis serta mengaku bersalah di mahkamah.

Majistret memutuskan ketiga-tiga tertuduh didenda masing-masing RM2,000 atau penjara tiga bulan.

Ketiga-tiga tertuduh dibebaskan selepas membayar denda tersebut.

Pada 17 Julai lalu, polis menerima aduan kejadian rompakan di kawasan Taman Hijau, Karak yang mana mangsa yang merupakan suri rumah telah disamun tiga lelaki tidak dikenali yang melarikan sejumlah barang kemas milik mangsa.

Hasil siasatan awal polis mendapati suami mangsa menjadi dalang utama dalam kes rompakan itu semata-mata bagi menuntut insurans. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya