Salahuddin pemimpin cakna - Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Salahuddin pemimpin cakna – Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub merupakan seorang ahli politik yang cakna dengan kebajikan rakyat.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Allahyarham juga merupakan antara pemimpin politik yang banyak memberi tunjuk ajar kepada beliau semasa dalam Pakatan Harapan (PH) ketika membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Salah satu perkara yang saya tidak lupa tentang arwah adalah saya tidak perlu mencari dia, sebaliknya dia yang menghubungi saya terlebih dahulu untuk menjayakan pelbagai misi bantuan kemanusiaan.

“Semasa misi banjir dan insiden jeti runtuh di Muar, dia yang hubungi saya dahulu dan bertanyakan apakah bentuk bantuan yang diperlukan untuk mangsa terjejas. Dia memang sangat cakna isu rakyat.

“Selain itu, dia juga merupakan seorang sahabat perjuangan yang berjasa kepada masyarakat dan juga bagi diri saya. Agak sukar untuk dengar berita ini secara tiba-tiba,” katanya selepas memberi penghormatan terakhir kepada Salahuddin di Kampung Serkat, di sini.

Ahli Parlimen Muar berkata, Allahyarham pernah berpesan kepadanya supaya sentiasa buat kerja dalam pilihan raya kerana menang atau kalah ketentuan Allah dan rakyat yang memilih. 

“Saya ingat itu ketika berkhidmat bersama pada tahun 2018 dan 2019. Memang banyak rintangan tetapi dia ingatkan saya untuk fokus terhadap kerja dan jangan terlalu fikir soal politik selepas diberi tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman pula memberitahu, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat negara kerana beliau banyak berjasa.

“Tidak dinafikan, inisiatif Payung Rahmah yang digerakkan Allahyarham telah memberikan banyak manfaat kepada jutaan rakyat negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya