SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan hari ini mengumumkan dua lagi calon parti itu bagi bertanding merebut 36 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
Ketua Bilik Gerakan Utama PN Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan, dua calon tersebut ialah Datuk Sri Surash Sreenivasan di kerusi DUN Jeram Padang dan Zabidi Ariffin di DUN Sri Tanjung.
Pada majlis Munajat Perdana dan Pengisytiharan Calon PN Negeri Sembilan di sini malam semalam, Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah mengumumkan 34 calon bagi mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith antara calon yang diumumkan dan beliau akan bertanding di DUN Juasseh.
Ketua Pemuda PN Negeri Sembilan, Danni Rais pula akan bertanding di DUN Klawang.-UTUSAN.