RM230 juta bangunkan semula PULAPOT dan ARW di Port Dickson - Utusan Malaysia

RM230 juta bangunkan semula PULAPOT dan ARW di Port Dickson

MOHAMAD Hasan mendengar penerangan ketika hadir pada Majlis Pecah Tanah Kem dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera Bagi Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT) dan Army Red Warrior (ARW) di Mukim Si Rusa, Port Dickson hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebanyak RM232.9 juta akan dibelanjakan bagi membangunkan semula Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT) dan Markas Tim Akrobatik Army Red Warrior (ARW) di Mukim Sirusa dekat sini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, projek itu turut melibatkan pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) serta kemudahan berkaitan yang pada asalnya berada di Kem Genting Klang, Kuala Lumpur. 

Beliau berkata, pembangunan semula aset ATM itu merupakan salah satu komponen timbal balas daripada Pembinaan Perumahan Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah diluluskan jemaah Menteri.

“Kompleks baharu yang lengkap, moden dan selesa yang bakal dibina di sini antara lain akan melibatkan pembinaan pejabat markas, Wisma Perwira, Wisma Bintara, dewan serbaguna, bilik latihan, bilik penginapan, padang kawad, sirkit menempuh halangan, lapang sasar pistol dan lain-lain kemudahan yang akan memberi manfaat kepada PULAPOT dan ARW. 

“Manakala bagi anggota ATM yang bakal bertugas di sini pula, sebanyak 213 unit RKAT pelbagai kelas bakal disediakan dengan kemudahan yang lengkap seperti kompleks komuniti, surau, sekolah rendah agama, tadika, taska, Rumah BAKAT dan gelanggang sukan,” katanya dalam ucapan pada majlis pecah tanah projek tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan  Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Dr. Shahrazat Ahmad.

Mohamad memberitahu, pembinaan projek itu akan mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan dengan mengambil kira pemuliharaan alam sekitar.

“Pembangunan aset ATM ini adalah selari dengan matlamat Kementerian Pertahanan untuk menjaga kebajikan warga kerja pertahanan bertunjangkan Konsep Malaysia Madani.

“Ia bakal memberi faedah bukan sahaja kepada warga tentera tetapi turut meliputi ahli keluarga dan masyarakat sekitar kem,” ujarnya.

Beliau berkata, selepas projek itu siap kelak, kerajaan akan membina 7,250 unit rumah untuk anggota tentera, veteran tentera dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan di tapak Kem Genting Klang yang dikosongkan oleh PULAPOT dan ARW.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya