GUA MUSANG: Sebanyak RM15.98 juta diperuntukan oleh kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk melaksanakan projek bangunan, infrastruktur keselamatan dan perkhidmatan jalan raya di Kelantan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR, Datuk Zahrul Hakim Abdullah berkata, peruntukan berkenaan melibatkan 35 projek pembinaan di seluruh negeri ini.
Menurutnya, jumlah itu termasuk lapan kerja pemasangan lampu jalan di kawasan kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap dengan kos keseluruhan berjumlah RM1.3 juta.
“Senarai projek yang terlibat di negeri ini antaranya pembinaan Dewan Terbuka Untuk Pejabat Daerah Pertahanan Awam Gua Musang dengan kos sebanyak RM1.68 juta dan menaik taraf infrastruktur Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli dengan kos sebanyak RM6.06 juta.
“Selain itu, sebanyak 25 projek lain membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan di sekitar daerah di Kelantan. Menerusi projek-projek infrastruktur itu, ia akan memberi banyak manfaat dan menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi rakyat di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Surat Setuju Terima (SST) kepada 35 kontraktor pada Majlis Penyerahan SST Projek-Projek di Negeri Kelantan di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Gua Musang, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Zahrul Hakim memberitahu, penyerahan SST bagi projek-projek yang tersenarai itu menunjukkan komitmen padu Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembangunan infrastruktur di Kelantan demi kesejahteraan rakyat.
Katanya, KKR juga ingin menyeru kepada semua kontraktor agar mencari inisiatif menggunakan teknologi terkini yang terdapat di pasaran.
“Ini dapat membantu dalam usaha untuk meningkatkan kualiti kerja sekali gus mempercepatkan masa agar kita dapat memperkasakan industri pembinaan di negara ini seiring dengan arus pemodenan.
“Jadi, isu kelewatan penyerahan projek tidak sepatutnya berlaku. KKR yang bertanggungjawab dalam perkara ini menganggap ia sebagai suatu perkara yang sangat serius dan berita yang tidak disenangi masyarakat,” ujarnya.-UTUSAN