RM140 juta ganti pam-pam lama, usang di LRA Pahang - Utusan Malaysia

RM140 juta ganti pam-pam lama, usang di LRA Pahang

MOHAMMAD FAKHRUDDIN Mohd. Ariff (kiri) melakukan lawatan kerja ke loji rawatan air (LRA) Sekor di Pekan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Sebanyak RM140 juta diperuntukkan untuk menggantikan pam-pam lama dan usang di loji rawatan air (LRA) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) sudah pun mengenalpasti pam-pam lama dan usang yang perlu ditukar baharu.

“Saya percaya dengan penggantian pam baharu ini, ia bukan sahaja akan menjimatkan elektrik malah meningkatkan mutu dalam pemprosesan dan rawatan air.

“Dengan usaha penggantian pam-pam baharu maka tekanan air pun akan menjadi lebih kuat dan stabil. Namun kita perlu melihat keadaan paip-paip lama yang juga harus diganti kerana ada yang pecah setelah menerima tekanan air yang kuat.

“Semua usaha ini sudah tentu mengambil masa dan kerajaan negeri melalui Paip akan terus memberi perhatian yang sebaik mungkin bagi memastikan kerja-kerja yang dilaksanakan berjalan lancar yang akhirnya membawa banyak kebaikan kepada penduduk,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke LRA Sekor, LRA Kampung Belimbing dan Rumah Pam/ Tangki Temai bersama pengurusan Paip diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Saiful Zaini Mohd. Bokhari di sini hari ini.

Mohammad Fakhruddin berkata, di Pekan, RM65.25 juta diperuntukkan Paip melalui kerajaan negeri bagi kerja-kerja membaiki dan menaiktaraf paip-paip usang dan bermasalah termasuk penggantian pam-pam penggalak baharu di daerah ini.

Usaha ini katanya, bagi memastikan perkhidmatan bekalan air di Pekan bertambah baik dan dapat dinikmati oleh penduduk dengan sempurna pada masa akan datang.

“Ini termasuklah projek bekalan air Nenasi sebanyak RM19 juta, pemasangan Booster Pump di Kampung Gemuruh RM50,000, penggantian pam dan paip di Felcra Sri Makmur RM3 juta, kerja-kerja di kolam takungan dan muka sauk LRA Felda Chini berjumlah RM20 juta.

“Ia turut melibatkan penggantian pam dan paip di LRA Kampung Belimbing sebanyak RM250,000, membina tangki sedutan, penggantian pam di Temai berjumlah RM979,900 dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya