RM1.44 bilion untuk 42 projek JALB di Kelantan

RM1.44 bilion untuk 42 projek JALB di Kelantan

NIK Nazmi Nik Ahmad (kiri) melawat ke tapak Projek Pembinaan Jalan dan Jambatan Kampung Joh ke Kampung Belimbing di Kampung Joh, Machang, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Kerajaan Perpaduan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah meluluskan 42 projek di Kelantan di bawah Program Jalan dan Jambatan Luar Bandar (JALB) termasuk projek menaiktaraf jambatan sempit melibatkan perbelanjaan berjumlah RM1.44 bilion

Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, projek tersebut akan dilaksanakan menerusi Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurutnya, kerajaan komited dalam mengurangkan jurang infrastruktur perhubungan jalan luar bandar dan wilayah dalam usaha untuk menoktahkan kemiskinan di Kelantan

“Bagi tahun pelaksanaan 2023, sejumlah RM122.95 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan projek seperti membina jalan dan jambatan dari Kampung Joh ke Kampung Belimbing dan Kampung Joh ke Kampung Kuala Sat serta pembinaan jalan dari Kampung Joh ke Kampung Mata Ayer, Machang.

“Ketiga-tiga projek JALB ini akan melengkapkan satu jaringan jalan alternatif luar bandar melibatkan jajahan Kota Bharu, Tanah Merah dan Machang,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat tapak projek pembinaan jalan Kampung Joh ke Kampung Belimbing, Tanah Merah di Kampung Joh, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nik Nazmi memberitahu, bagi pembangunan di Jajahan Machang, Kementerian Ekonomi telah meluluskan sebanyak 19 projek bagi pelaksanaan di bawah RP3 RMK12 merangkumi peruntukan RM165.1 juta .

“Tekad dan komitmen kerajaan kepada rakyat dan negeri Kelantan dizahirkan melalui pelbagai projek dan program yang sedang serta dalam perancangan untuk dilaksanakan.

“Saya mengulangi komitmen bahawa kerajaan akan sentiasa cakna dan tidak akan meminggirkan pembangunan di Kelantan,”katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya