BACHOK: Tiga remaja hanya mampu melihat seorang rakan mereka tenggelam sebelum lemas semasa sedang mandi di sebuah tali air yang baru digali di Kampung Kuar di sini petang tadi.
Mayat mangsa, Mohd. Afiq Zakuan Ariffin, 13, dijumpai oleh penduduk kampung di kawasan tali air itu kira-kira pukul 4 petang.
Nenek mangsa, Pazidah Mohd. Zain, 51, berkata, semasa kejadian, Mohd. Afiq Zakuan bersama tiga orang rakannya pergi untuk mandi-mandi di tali air tersebut.
Menurutnya, ketika itu, hanya cucunya seorang sahaja yang turun ke tali air yang dianggarkan sedalam kira-kira dua meter manakala tiga lagi rakan tidak sempat mandi.
“Cucu saya tenggelam ketika turun ke tali air apabila paras air ketika itu sangat dalam kerana kawasan tersebut baru sahaja digali tiga hari lalu untuk ternakan ikan.
“Saya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh penduduk kampung. Dua orang anak saya kemudiannya terus bergegas ke lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu malam tadi.
Pazidah memberitahu, Mohd. Afiq Zakuan tinggal bersamanya sejak dia berusia lapan bulan kerana ibunya bekerja di sebuah kilang di di Kuala Lumpur.
Katanya, sebelum kejadian, cucunya ada meminta kebenaran untuk keluar memancing, namun dilarang oleh bapa saudaranya.
“Cucu saya juga meminta wang RM2 untuk mengisi minyak motor sebelum dia terus bergegas keluar dari rumah.
“Kira-kira setengah jam kemudian, saya dikejutkan dengan berita Mohd. Afiq Zakuan lemas di tali air,” katanya.-UTUSAN