KUANTAN: Sejak menyertai lebih 10 kejohanan basikal imbang atau basikal tanpa kayuh (push bike) bermula usianya tiga tahun, Dayyan Adam Zafri Muhammad Farid Ariffin, 5, dari pasukan DAZ Bikers tidak pernah sekalipun terlepas menaiki podium.
Apa yang berbeza hanya kedudukan podium sama ada bergelar juara pertandingan ataupun berada di kedudukan kedua dan ketiga.
Terbaharu, Dayyan Adam Zafri yang mesra dipanggil Dayyan menyertai kejohanan M8 Push Bike Championship Malaysia Series yang berlangsung selama dua hari pada 24 dan 25 Jun lalu bertempat di Tropicana Garden Mall Convention Centre, Petaling Jaya, Selangor.
Dalam kejohanan itu, kanak-kanak tersebut muncul juara kategori lima tahun dalam dua series dipertandingkan dan tempat kesembilan pelumba terbaik daripada 64 pelumba yang bertanding.
M8 Push Bike Championship Malaysia Series mendapat penyertaan terbesar dari 12 negara iaitu Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura, Taiwan, Filipina, China, Hong Kong, Amerika Syarikat, Jepun, India dan Malaysia.
Bercerita tentang penglibatan Dayyan Adam Zafri, ibunya, Dinie Amirah Zuhairi berkata, anaknya itu mula melibatkan diri dalam bidang perlumbaan push bike seawal usia tiga tahun bermula kejohanan Push Bike Fun Race anjuran Pro Zerosix di Kuantan diperkenalkan sendiri oleh datuknya, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir.
Katanya, setelah hampir dua tahun berkecimpung dalam sukan berbasikal ini, pelbagai kejohanan disertai anaknya iaitu di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan juga Kuala Lumpur.
“Dayyan berjaya meletakkan diri antara pelumba yang disegani dalam kategori usianya yang mana dia mampu untuk memberikan saingan sengit kepada pelumba-pelumba lain malah berjaya mendapatkan kedudukan podium yang terbaik di sepanjang penglibatannya.
“Menerusi dorongan dan latihan yang diberikan oleh jurulatih dari Academy Core Pushbike (Ayah Core), Dayyan berusaha untuk melangkah lebih jauh malah lebih bersedia untuk memberikan saingan yang terbaik dalam mana-mana kejohanan yang bakal disertai selepas ini.
“Difahamkan selepas ini, jika ada mana-mana negara yang akan menganjurkan kejohanan push bike. Insya-Allah jika tiada halangan Dayyan akan menyertainya dan dia memang bersemangat untuk ke sana serta memang mengidamkan menaiki podium di luar negara,” katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Darul Makmur di sini hari ini.
Dinie Amirah berkata, jika ke luar negara suatu hari nanti, ia merupakan pertandingan push bike di luar negara yang pertama disertai oleh Dayyan.
“Kita difahamkan selepas ini terdapat beberapa negara lagi akan menganjurkan kejohanan push bike, insya-Allah Dayyan akan menyertainya,” katanya.
Sementara itu, Dayyan ketika ditemui berkata, dia sememangnya tidak sabar untuk beraksi dalam kejohanan push bike di luar negara.
“Sama seperti pertandingan di sini, saya juga akan melakukan yang terbaik di luar negara nanti supaya tidak terlepas menaiki podium.
“Tentunya mahu jadi juara, tapi Dayyan tidak kisah untuk berada pada kedudukan ke berapa asalnya dapat naik podium sahaja,” katanya. – UTUSAN