PETALING JAYA: Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) sedang mengenal pasti punca kemalangan sebuah helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika sesi pengujian enjin dan sistem pesawat tersebut semalam.
Bahagian Pengurusan Korporat JBPM dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan dalaman dan akan mengambil tindakan susulan selaras dengan dapatan serta arahan dan prosedur semasa ditemukan selepas ini.
Semasa kemalangan pada pukul 11.45 pagi semalam di Dispersal Universiti Kuala Lumpur, pesawat tersebut sedang menjalani ujian enjin dan sistem pesawat (Engine Ground Run) yang menjadi prosedur biasa setelah pesawat menjalani penyelenggaraan berkala.
“Pesawat model Agusta, AW189 dengan nombor pendaftaran 9M-BOF dilaporkan ditugaskan untuk menjalani pengujian enjin dan sistem pesawat setelah melalui proses selenggara berkala seperti ditetapkan oleh pihak pengeluar sebagaimana dalam program selenggara,” lapor kenyataan itu.
Bagaimanapun, ketika kemalangan pesawat tersebut belum terbang dan ia berlaku ketika cuaca mendung tetapi tiada halangan di tempat kejadian.
Kata kenyataan itu, pesawat tersebut dikendalikan anak kapal JBPM iaitu Komander Pesawat, Hasrizal bin Kamaruzzaman, dibantu Che Muhammad Azlan Che Mohammad (Juruterbang) dan seorang Air Quartermaster, Fua’ad Jamaluddin.
Empat kru senggaraan daripada Syarikat Galaxy Aerospace Sdn Bhd yang turut berada di dalam pesawat ialah Muhammad Mohd Taib (Ketua Jurutera), Ahmad Zhafri Mohd Nor (Jurutera Avionik), Mohammad Zhafir Mohammad (pelatih) dan Ryan Xavier Julius (pelatih).
Akibat kemalangan itu, anak kapal dan kru senggaraan mendapat rawatan dan pemeriksaan awal di tempat kejadian dan mangsa-mangsa tidak mengalami kecederaan kecuali seorang kru senggaraan yang mengadu sakit pinggang.- UTUSAN