Projek perumahan 'sakit' dijangka cecah 1,000 - Utusan Malaysia

Projek perumahan ‘sakit’ dijangka cecah 1,000

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR ( kanan) melihat ruang dapur salah sebuah kediaman yang lewat untuk diduduki semasa melawat Residensi Larkin Indah, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jumlah projek perumahan ‘sakit’ di seluruh negara dijangka meningkat sehingga mencecah 1,000 kes menjelang hujung tahun ini ekoran berakhirnya Akta Covid yang memberi pengecualian ‘extension of time’ (EOT) kepada pemaju dalam tempoh pandemik Covid-19 yang lalu.

Justeru, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir mengakui, kementeriannya kini sedang bertungkus-lumus untuk menangani masalah tersebut sebelum kian melarat.

“Kita jangkakan (projek sakit) akan berlaku peningkatan secara mendadak susulan pasca Covid-19 apabila EOT berakhir awal tahun ini. Melihat unjuran yang dibuat setiap bulan, kita lihat ada anggaran (projek) yang masih ‘sihat’ mungkin akan jatuh sakit. 

“Sekiranya tidak dipantau rapat, projek sakit ini boleh melangkaui 1,000 tahun ini. Jadi, itulah cabaran kita hadapi untuk meredakan keadaan, bukan sahaja untuk menyiapkan atau melancarkan projek, malah kita bertarung untuk kekang projek yang ‘sihat’ daripada jatuh sakit,” katanya ditemui selepas mengadakan lawatan ke Residensi Larkin Indah, di sini hari ini.

Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, hingga 30 April lalu, sebanyak 481 projek perumahan di seluruh negara dikategorikan sebagai sakit dengan 118 daripadanya sedang diselesaikan dan pihaknya turut menubuhkan pasukan tindakan khas bagi menangani pelbagai isu berkaitan.

Beliau berharap usaha kementeriannya menyelesaikan masalah projek sakit mendapat kerjasama dan penglibatan daripada kerajaan negeri.

“Ada negeri yang sudah ada ‘task force’ seperti Johor, Negeri Sembilan dan Selangor. Jadi, kita di kementerian akan pantau, urusan kelulusan atau tanah dan sebagainya itu semua di peringkat negeri.

“Contoh di Kelantan, apabila kita tinjau projek sakit di sana, kita dapat kerjasama dan penglibatan kerajaan negeri dan mereka setuju untuk wujudkan ‘task force’ juga.

“Jadi, di peringkat ‘task force’ ini akan teliti lebih mendalam untuk pastikan projek yang sakit akan tunjuk kemajuan, atau projek ‘sihat’ yang mungkin jatuh sakit atau projek sakit yang kritikal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN