Projek kelapa sawit PASFA di Pekan penuhi syarat JAS - Zamri - Utusan Malaysia

Projek kelapa sawit PASFA di Pekan penuhi syarat JAS – Zamri

ZAMRI Yaakob (dua dari kiri) menunjukkan dokumen Projek Pembangunan Tanaman Kelapa Sawit dilaksanakan PASFA di Pekan dalam sidang akhbar di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Projek Pembangunan Tanaman Kelapa Sawit seluas 402.33 hektar dilaksanakan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) di Kampung Darat Air Hitam, Mukim Lepar di Pekan, dekat sini mematuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pengerusi PASFA, Datuk Zamri Yaakob berkata, pertubuhan itu sudah menerima kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada JAS pada 29 Jun 2021.

Katanya, projek itu mematuhi syarat ditetapkan oleh JAS termasuk dilaksanakan secara berfasa bagi mengurangkan impak kesan hakisan dan kelodak kepada sungai.

“Tiada aktiviti pembakaran terbuka dan tiada kerja-kerja pembukaan tanah dan penanaman di zon badan air. Kita juga menyediakan zon penampan di antara kawasan tanam dan kawasan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di si sini hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sedang menunggu laporan berkaitan sebuah projek penanaman sawit di Pahang, susulan dakwaan EIA bagi projek itu tidak dipamerkan secara terbuka.

Sebelum ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa JAS membatalkan EIA bagi projek di Pekan tersebut selepas mendakwa ia tidak dipamerkan seperti yang dikehendaki garis panduan.

Mengulas lanjut, Zamri berkata, PASFA sentiasa mengambil perhatian dan mematuhi syarat JAS dari semasa ke semasa supaya kejadian tidak diingini dan kesan buruk kepada alam sekitar tidak berlaku.

“Kita ada kelulusan dan bukan suka-suka bangunkan, selepas mendapat kelulusan EIA baru kita membangunkan projek ini. Saya harap isu ini ditutup kerana apa yang dilaksanakan mengikut peraturan dan bukannya melanggar syarat ditetapkan JAS,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, kawasan seluas 200 hektar daripada keseluruhan 402.33 hektar sudah ditanam kelapa sawit, manakala bakinya tanaman dijangka selesai pada hujung tahun ini.

“Kita jangkakan hasil tanaman kelapa sawit ini akan bermula pada pertengahan 2026,” katanya.

Menurutnya, Projek Pembangunan Tanaman Kelapa Sawit itu dilakukan di atas tanah yang merupakan hak PASFA demi memberikan manfaat kepada lebih 70,000 ahlinya terutama meningkatkan taraf sosioekonomi.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 40 hektar daripada 402.33 hektar tanah milik PASFA itu diceroboh dan pihaknya sudah membuat laporan polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya