Projek fasiliti pengeluaran kilang elektronik beri impak positif ekonomi Perlis

Projek fasiliti pengeluaran kilang elektronik beri impak positif ekonomi Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (empat dari kiri) merasmikan majlis pecah tanah projek pembangunan fasiliti pengeluaran kilang elektronik di CVIA, Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kejayaan projek pembangunan fasiliti pengeluaran kilang elektronik di kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di sini yang dibangunkan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bakal memberi impak positif kepada ekonomi dan rakyat Perlis.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, selain itu, ia juga bakal menjadi pemangkin kepada pelaburan lain ke CVIA.

Baginda juga berharap pihak MRCB akan terus memberikan sepenuh komitmen dalam memastikan pembangunan projek tersebut dapat disiapkan sebagai mana dirancang.

“Daripada aspek peningkatan taraf hidup dan peningkatan pendapatan rakyat, projek ini juga dilihat membantu rakyat negeri ini.

“Diharapkan juga pihak MRCB dapat memberi keutamaan kepada rakyat Perlis dalam merebut peluang-peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan.

“Hebahan awal berhubung pembangunan projek ini juga perlu diberikan kepada rakyat dan masyarakat umum supaya ianya berada dalam pengetahuan ramai.

“Tahniah dan syabas kepada MRCB kerana telah mengambil usaha untuk membangunkan fasiliti pengeluaran kilang elektronik di CVIA ini,” titah baginda merasmikan majlis pecah tanah projek pembangunan fasiliti pengeluaran kilang elektronik di CVIA di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli: Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Ishak Mohamed; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MRCB, Kwan Joon Hoe; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA),
Mohamad Haris Kader Sultan dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Seterusnya baginda bertitah, kerajaan negeri melalui Menteri Besar Incorporated (MBI), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan NCIA diharapkan akan melipatgandakan lagi usaha membawa masuk lebih banyak pelaburan besar ke negeri ini khususnya di kawasan CVIA.

“Usaha ini juga harus disokong oleh Kementerian Ekonomi dan juga jabatan serta agensi kerajaan Persekutuan yang lain seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” titah baginda.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya