PASIR MAS: Pilihan raya negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila aktivis masyarakat Datuk Seri Suzainal Adnan Sukri menjadi calon bebas.
Perkara tersebut dimakumklan oleh Pengurus Pilihan Raya DUN Tendong Bahari Daud yang mengumumkan tiada borang pencalonan yang ditolak selepas membuat semakan.
Pada PRN 12 Ogos ini penyandang kerusi DUN Rozi Mohamad akan ditentang oleh BN Noor Hariri Mohamed Noor dan Bebas Suzainal.
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Rozi Mohamad menang dengan majoriti 2,251 undi menewaskan calon BN dan PKR.
Sementara itu, Suzainal berkata, keputusan untuk bertanding dibuat selepas melihat Pas dan BN sudah tidak revelen dalam membela nasib rakyat.
Menurutnya, sebagai aktivis masyarakat beliau melihat kedua-dua parti itu gagal membela rakyat.
“Sebab itu, saya membuat keputusan untuk bertanding bagi membela nasib rakyat.
“Berilah sokongan kepada saya untuk membantu dan memajukan kawasan DUN Tendong,” katanya.
Sementara itu DUN Meranti menyaksikan pertembungan dua penjuru antara penyandang kerusi sebelum ini Datuk Nasuruddin Daud dengan Zahri Omar (BN).
DUN Pengkalan Pasir pula menyaksikan pertembungan dua muka baharu iaitu Nasriff Daud Yatimee dari Pas dan Pakatan Harapan (PH) Rushdan Mustafa.-UTUSAN