KOTA BHARU: Tindakan seorang calon bebas yang tampil menyerahkan borang pencalon pada saat-saat akhir menyaksikan proses penamaan calon bagi pilihan raya negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini, yang sebelum itu ‘tenang’ bertukar menjadi ‘panas’
Bagaimanapun, suasana ‘panas’ itu kembali menjadi tenang selepas borang pencalonan yang dikemukakan oleh seorang wanita iaitu Tan Lay Tho, 63, pada pukul 9.33 pagi telah ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Difahamkan penolakan itu berpunca daripada pencadang Lay Tho iaitu suaminya Ong Chi Lam, 63, tidak memenuhi syarat SPR apabila alamatnya berlainan itu di DUN Bunut Payong.
Lay Tho yang juga seorang suri rumah itu turut membawa penyokong iaitu bapa saudaranya, Wee Choon Seng, 85, yang juga pengundi DUN Kota Lama.
Pegawai Pengurus DUN Kota Lama, Izzuddin Ab Rashid, pihaknya menerima lima kertas pencalonan daripada calon-calon yang bertanding.
“Lima calon itu ialah Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas), Dr. Hafidzah Mustakim (Pakatan Harapan), Datuk Zamri Ismail (Pas), Tan Boon Kian atau Andy Tan (Parti Rakyat Malaysia) dan Lay Tho (Bebas).
“Setelah selepas melakukan semakan, SPR mendapati hanya kertas pencalonan milik Lay Tho ditolak. Penolakan itu menyaksikan hanya empat calon sahaja yang disahkan bertanding dalam PRN kali ini,” katanya.-UTUSAN