KOTA BHARU: Pas Kelantan menegaskan kedudukan parti itu tidak tergugat meskipun Barisan Nasional (BN) memperkenalkan 30 peratus muka baharu untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Timbalan Persuruhjaya Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah turut mengakui beliau tidak pernah mendengar nama yang ditampilkan oleh BN kali ini.
“Jadi kita tengok macam mana sebab ramai kita tidak kenal. Tetapi melihat kepada mood rakyat pada malam ini, kita yakin dapat mempertahankan kerajaan Pas di Kelantan.
“Pas juga akan memperkenalkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon muka baharu…mungkin lebih lagi dan setakat ini kita mempunyai dua calon wanita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program Munajat Rakyat Kelantan: Ppakat Pertahan dan Amanat Pemimpin di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Mohd. Amar memberitahu, berpandukan kepada ‘mood’ rakyat ketika ini Pas Kelantan optimis mampu menyapu bersih semua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN nanti.
Katanya, kebanyakan isu dimainkan pihak lawan termasuk masalah air dan anak-anak wakil rakyat bekerja di bawah agensi-agensi kerajaan bersifat kitar semula.
“Kebanyakannya telahpun dijelaskan sebelum ini. Isu air telah begitu lama dimainkan manakala isu anak beranak di dalam agensi di bawah kerajaan negeri pula, mereka dilantik berdasarkan kelayakan.
“Mereka diambil bekerja melalui proses pengambilan pekerjaan biasa termasuk proses temuduga dan mengikut kelayakan. Bukan kerana mereka si anu bin si anu… jadi tiada isu berbangkit,” ujarnya.
Mohd. Amar berkata, tidak adil sekiranya seseorang tidak diambil bekerja atau terpaksa bekerja di luar Kelantan hanya kerana bapa mereka menjadi wakil rakyat di negeri ini.-UTUSAN