PETALING JAYA: Masalah pengangkutan menjadi antara sebab ramai mahasiswa tidak dapat pulang untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Muhammad Farid Zainal berkata, jika pemimpin mahu pelajar di pusat-pusat pengajian ikut serta pada PRN, mereka perlu menyedia pengangkutan.
Menurut beliau, penyediaan pengangkutan khas kepada pelajar di perantauan boleh membantu meningkatkan jumlah keluar mengundi.
“Antara perkara yang mahasiswa perlukan untuk memudahkan mereka pulang mengundi adalah dari segi penyediaan pengangkutan khas seperti bas. Hal ini disebabkan kebiasaannya, penjualan tiket pengangkutan awam habis dan kadangkala pihak tidak bertanggungjawab mengandakan harga tiket tersebut.
“Andai kata penyediaan pengangkutan khas tidak disediakan, pemberian elaun khas pulang mengundi juga sudah memadai mengikut jarak lokasi keberadaan mereka dalam membantu mahasiswa pulang mengundi terutama kepada mereka yang pulang mengundi dari Sabah dan Sarawak.
“Dari sudut kodifikasi yang berbeza, mahasiswa perlu diberikan cuti khas pada hari mengundi berlangsung bagi memudahkan urusan mereka untuk pulang mengundi. Sebarang aktiviti akademik atau kuliah hendaklah dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada pelajar untuk turun mengundi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Yang Dipertua MPP Universiti Sains Malaysia (USM), Afirul Idris Ayub Khan berkata bantuan wang tunai untuk mahasiswa amat dialu-alukan tetapi haruslah merangkumi tiket pergi dan balik.
“Kos pengangkutan yang disediakan ini tidak boleh hanya terhad kepada kos untuk pulang ke kampung sahaja tetapi juga kos untuk pulang semula ke kampus kerana terdapat sebilangan besar mahasiswa yang perlu pulang semula ke kampus bagi tujuan akademik dan sebagainya.
“Bantuan ini sangat wajar diberikan kepada mahasiswa kerana pada ketika ini iaitu pada penghujung semester ini, kebanyakan mahasiswa mempunyai kekangan dari segi kewangan. Pihak kerajaan seharusnya mengambil tanggungjawab dengan menyediakan inisiatif ini sebagai satu usaha bagi menggalakkan mahasiswa bagi pulang menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
“Golongan mahasiswa sememangnya tidak ingin ketinggalan dalam menjalankan tanggungjawab mereka dan teruja bagi menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.
Pada 5 Julai lalu, Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.
Semua negeri terbabit tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu untuk fokus pada persediaan banjir yang sering berlaku pada musim monsun hujung tahun. -UTUSAN