PASIR MAS: Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (BN-PH) Kelantan melaungkan keyakinan gabungan itu mampu menambah jumlah bilangan kerusi di Dewan Undangan Negeri (PRN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti.
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, keyakinan itu berpandukan kepada kerjasama kukuh antara gabungan BN-PH yang dilihat semakin serasi ketika ini.
“Sebelum ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan PRU-15 lalu kita bertembung kita penjuru antara PH, BN dan Pas.
“PRN kali ini hanya melibatkan pertembungan dua penjuru iaitu BN-PH dengan Pas sahaja. Melihat kepada situasi itu, saya yakin gabungan kita (BN-PH) mampu mengekalkan lapan kerusi yang dimenangi pada PRU-15 lalu dan menambah jumlahnya kali ini (PRN),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bicara Kenaf di Kampung Slow Machang, di sini hari ini.
Wan Abdul Rahim yang juga Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LTKN) memberitahu, jumlah undi yang diperoleh oleh PH-BN pada PRU lalu jika dicampur mendapati ia mampu menggugat kedudukan Pas di negeri ini.
Katanya, beberapa undi di kawasan DUN yang dicampur itu memberi peluang kepada gabungan itu untuk mencapai kemenangan jika terus bekerja keras pada PRN nanti.
“Untuk PRN nanti, kami akan saling bantu membantu antara satu sama lain bagi memastikan kemenangan menjadi milik BN-PH,” ujarnya.
Pada PRN 12 Ogos ini, Katanya, PH akan bertanding di 14 daripada 45 DUN di Kelantan.
Antara 14 kerusi itu ialah di DUN Limbongan (Pasir Puteh); Tawang (Bachok), Kadok (Ketereh); Panchor (Pengkalan Chepa); Tanjong Mas, Kota Lama (Kota Bharu); Pasir Tumbuh, Demit (Kubang Kerian); Bukit Panau (Tanah Merah); Chetok (Rantau Panjang); Pasir Mas (Pengkalan Pasir); Mengkebang (Kuala Krai); Temangan (Machang) dan Pasir Pekan (Tumpat).-UTUSAN