KOTA BHARU: Calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Ahmad Deraman menegaskan beliau sama sekali tidak gentar berlawan dengan bekas Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa jika Pas menamakan tokoh itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Ahmad berkata, walaupun ‘figura’ itu pernah menjadi ADUN Kok Lanas namun kemenangan tersebut dicapai atas tiket BN.
Menurutnya, situasi kali ini berbeza apabila Annuar akan menggunakan simbol bulan jika nama tokoh itu dicalonkan.
“Saya yakin dan percaya rakyat akan tetap bersama dengan BN berpandukan kepada rekod cemerlang yang telah ditunjukan sebelum ini.
“Bagi saya, tiada keperluan untuk rakyat menukar BN di kawasan Kok Lanas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ahmad memberitahu, wakil rakyat sebelum ini Datuk Seri Md. Alwi Che Ahmad dan BN telah memberikan khidmat terbaik dengan membawa lebih banyak limpahan pembangunan kepada rakyat.
Katanya, jika BN diberi mandat pada PRN kali ini akan memberikan khidmat terbaik dalam membela nasib rakyat.
“Saya bukanlah orang baharu dengan penduduk di Kok Lanas. Dalam UMNO dan BN sebelum ini saya banyak membantu kerja-kerja di belakang tabir.
“Jadi tiada masalah untuk saya turun bertemu dengan rakyat. Hal ini kerana, saya sudah mengenali mereka,” ujarnya.
Pada PRN kali ini Md. Alwi membuat ‘kejutan’ apabila mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan DUN Kok Lanas.
Pada PRU Md. Alwi menang dengan majoriti 1,122 menewaskan calon Pas Nik Mahadi Nik Mahmood dan Dr. Hanapi Ismail (PKR).-UTUSAN