PRN: BN sah bertanding 17 kerusi DUN di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

PRN: BN sah bertanding 17 kerusi DUN di Negeri Sembilan

MOHAMAD Hasan ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bahagian Angkat Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Kompleks Rakan Muda, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Barisan Nasional (BN) akan bertanding di 17 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut berkata, jumlah kerusi DUN berkenaan termasuk satu kerusi tambahan iaitu DUN Lenggeng yang akan turut ditandingi oleh parti itu.

Katanya, 16 kerusi DUN yang lain merupakan kerusi yang telah dimenangi oleh BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018.

“Di atas kertas 16 (kerusi DUN) tetapi telah dipersetujui dan dicakapkan sendiri kepada saya oleh Pengerusi Majlis Presiden Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau telah buat keputusan iaitu kerusi DUN Lenggeng akan diberikan kepada kami (BN). 

“Tiada dakwa-dakwi lagi, itu sebabnya saya katakan keputusan Majlis Presiden itu muktamad. Jadi kami akan bertanding di 17 buah kerusi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bahagian Angkat Pilihan Raya Negeri Sembilan di sini hari ini.

Semalam BN mengumumkan kerusi DUN Lenggeng akan ditandingi oleh parti itu pada PRN nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias memberitahu perkara itu sewaktu berucap pada majlis Jelajah DUN PRN Negeri Sembilan DUN Lenggeng di Taman Ampangan di sini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan kerusi DUN Lenggeng yang sebelum ini dimenangi oleh PH difahamkan akan ditandingi oleh calon dari BN pada PRN akan datang.

Keputusan memberikan laluan kepada calon BN itu adalah hasil rundingan akhir pembahagian kerusi yang diadakan di antara kedua parti berkenaan yang membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Menurut sumber, keputusan berkenaan sekali gus menyaksikan BN memperoleh satu kerusi tambahan daripada 16 kerusi yang dimenangi mereka pada PRU14 lalu.

“Ia menjadikan PH akan bertanding 19 kerusi DUN manakala BN bertanding di 17 kerusi termasuk Lenggeng daripada 36 buah kerusi DUN keseluruhan di negeri ini,” kata sumber itu.

MOHAMAD Hasan menyerahkan daftar pemilih pengundi kepada wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) Angkat sempena Majlis Penyerahan Bahagian Angkat Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Kompleks Rakan Muda, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.

Sementara itu, Mohamad yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN berkata, daripada segi perkiraan di atas kertas, BN boleh menang di kesemua kerusi yang akan ditandingi di Negeri Sembilan.

“(Namun) janganlah mengambil enteng pula, jangan mengambil kira keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen baru baru ini bahawa kita menang lima kita boleh menang mudah PRN ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata, penyerahan bahagian angkat kepada dua buah negeri iaitu Melaka dan Johor itu merupakan acara tradisi bagi membantu membawa kemenangan kepada jentera BN pada PRN kali ini. 

“Ini menjadi kebiasaan dalam keluarga UMNO yang besar jika ada Pilihan Raya Kecil (PRK) atau PRN untuk mengadakan sistem bahagian angkat dan negeri angkat. 

“Jadi, insya-Allah jentera daripada Melaka dan Johor memberi tambahan kekuatan yang sedia ada dalam jentera BN dan ini akan dapat membantu kemenangan kita semasa PRN,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya