PRN : 10 calon Bebas beri saingan di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

PRN : 10 calon Bebas beri saingan di Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 di Negeri Sembilan menyaksikan 10 calon Bebas akan bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi saingan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda)

Kerusi yang menyaksikan kehadiran calon Bebas adalah di DUN Klawang, Lenggeng, Nilai, Sikamat, Ampangan, Bukit Kepayang, Mambau dan Paroi.

Antara calon Bebas yang membuat kejutan bertanding ialah penyandang DUN Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek yang menggunakan logo pokok dan akan bertanding di kerusi sama.

Ia bagi memberi saingan kepada calon PH, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dan calon PN, Muhammad Ghazali Zainal Abidin.

DUN Nilai dan Sikamat masing-masing menampilkan dua calon Bebas iaitu di Nilai, Omar Mohd. Isa dan S. Yessu akan bertembung dengan calon penyandang dari PH, J. Arul Kumar dan calon PN, Gan Chee Biow.

Sementara itu di DUN Sikamat, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akan disaingi calon PN, Ahmad Raihan Muhamad Hilal dan dua calon Bebas, Bujang Abu serta Mohammed Hafiz Baharudin yang juga merupakan Ketua Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu Negeri Sembilan.

Manakala lima lagi calon Bebas ialah Saiful Bahri Jamaan bertanding di DUN Klawang, Zul Azki Mat Sulop di DUN Lenggeng, Ahmad Zamali Mohamad (DUN Bukit Kepayang), R. Kumaravel (DUN Mambau) dan Syakir Fitri (DUN Paroi).

Antara logo yang digunakan oleh calon Bebas pada kertas undi ialah kunci, perahu, cangkul, rumah, pokok dan cermin mata.

Terdapat sebanyak 36 kerusi DUN yang dipertandingkan di Negeri Sembilan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya