PETALING JAYA: Polis mengesahkan menerima satu laporan polis dibuat orang awam berhubung tindakan seorang menteri didakwa menceroboh masuk balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya setakat ini hanya menerima satu laporan polis daripada orang awam.
“Laporan itu dibuat meminta siasatan dijalankan berkaitan dakwaan seorang menteri menceroboh KLIA.
“Tindakan sedang diambil, namun belum mengklasifikasikan kertas siasatan yang akan dibuka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengakui gambar tular di media sosial berhubung isu itu adalah dirinya.
Ini selepas beliau mendakwa ada menerima aduan daripada pelancong sebelum ke KLIA bagi memahami situasi pelancong asing itu, selain ia pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang.
Beliau turut menyifatkan tindakan beliau ke KLIA bagi membongkar ‘peristiwa’ memalukan.
Beliau mendakwa wujud budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.
“Saya bersyukur kerana kehadiran saya sudah membongkar peristiwa memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara,” katanya dipetik.
Semalam, media melaporkan seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen, kelmarin.- UTUSAN