KOTA BHARU: Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas 5,770 pil kuda serta sepucuk pistol dalam dalam serbuan di tepi jalan hadapan sebuah rumah di Kampung Sering, Tok Ku, di sini, semalam.
Suspek yang berusia 27 dan isterinya warganegara Thailand berumur 33 tahun itu dicekup dalam serbuan pada pukul 11.10 malam.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan di rumah suspek telah menjumpai pil kuda.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemui sepucuk pistol yang telah ditanam berhampiran sebuah tembok.
“Nilai rampasan dadah itu dianggarkan berjumlah RM63,470. Hasil semakan mendapati lelaki tersebut mempunyai tujuh rekod lampau berkait dengan dadah.
“Suspek lelaki direman selama seminggu bermula hari ini hingga 10 Jun. Sementara wanita berkenaan enam hari bermula hari ini,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, pihaknya turut menyita sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ yang dianggarkan bernilai RM5,000.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kita tidak menolak kemungkinan pistol yang dirampas ini untuk tujuan keselamatan diri. Biasanya pengedaran dadah dalam jumlah yang besar, mereka akan menggunakan pistol.
“Polis Kelantan akan menjalankan siasatan lanjut berkait rampasan pistol tersebut,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, pihaknya merampas 125 liter yang dianggarkan bernilai RM1,250 selepas menahan tiga lelaki masing berusia 27 hingga 32 tahun dalam serbuan di hadapan sebuah rumah di Kampung Padang Embong, Pasir Mas, semalam.
Katanya, rampasan air ketum itu dilakukan pada pukul 6 petang.-UTUSAN