Polis siasat MB Kedah berkaitan dakwaan hina Sultan Selangor 

Polis siasat MB Kedah berkaitan dakwaan hina Sultan Selangor 

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis membuka siasatan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung kenyataannya yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya membuka kertas siasatan melibatkan isu 3R (raja, agama dan kaum), semalam.

“Kita membuka 61 kes berkaitan isu 3R sejak 27 Mac lalu, termasuk kes terbaharu melibatkan Muhammad Sanusi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Razarudin berkata, pihaknya turut membuka kertas siasatan berkaitan isu 3R melibatkan ahli politik, bekas ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Selain Muhammad Sanusi, kita turut menyiasat Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya.

Razarudin berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas melibatkan 21 pegawai dan anggota untuk menjalankan setiap siasatan berhubung kes 3R.

Jelasnya, kes-kes tersebut disiasat melibatkan isu 3R mengikut Seksyen Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan yang sudah lengkap akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Mengulas lanjut Razarudin berkata, pihaknya mendapati isu 3R kerap dimainkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kadang-kadang, ada pihak bercakap terlampau seronok tanpa memikirkan perasaan orang lain, fitnah dan mengaibkan.

“Apa jua perkara sensitif melibatkan isu 3R kita akan siasat segera, mana-mana pihak yang didapati cuba memainkan isu ini tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN