PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat satu artikel diterbitkan media tempatan berkaitan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa parti DAP menggunakan orang Melayu untuk mencapai agenda.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya mengesan artikel tersebut bertajuk ‘Hadi again accuses DAP of Chinese agenda, using Malay spokesperson to achieve goals’ (Hadi sekali lagi menuduh DAP agenda Cina, menggunakan jurucakap Melayu untuk mencapai matlamat).
Katanya, hasil penelitian pengadu mendapati bahawa kenyataan tersebut berbaur perkauman dan boleh menyebabkan kegusaran awam.
Beliau berkata, hasil semakan lanjut mendapati artikel tersebut adalah berdasarkan kenyataan asal Abdul Hadi yang dimuat naik di akaun Facebook Page Abdul Hadi Awang semalam.
“Susulan itu, kita membuka siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita juga akan merakam percakapan wartawan dan yang terlibat dalam penghasilan artikel,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, pihaknya akan membuat profiling Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan pemilik portal ‘New Straits Times’.
Terdahulu, portal media tempatan melaporkan Abdul Hadi mendakwa parti DAP membawa agenda kaum Cina bagi memperluaskan pengaruh bagi tujuan politik.
Dalam laporan itu mendakwa, Abdul Hadi menyatakan DAP turut melantik jurucakap daripada orang Melayu selain bekerjasama dengan parti lain bagi menagih undi dari kaum Melayu.
Beliau turut mendakwa parti tersebut berhasrat mengekalkan maksud Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang membawa pemikiran liberal dan kebebasan oleh Barat.
“DAP tidak perlu bersuara lantang lagi, sekali-sekala sudah memadai. Ini kerana mereka telah berjaya melantik jurucakap daripada orang Melayu yang lupa akan kemelayuan mereka dan terpinggir dari segi ketaatan kepada Islam.”
“Mereka menganggap ia rasis apabila orang Melayu bercakap tentang mempertahankan orang Melayu, dan orang Islam fanatik apabila Islam dibincangkan,” lapor media tersebut.- UTUSAN