PETALING JAYA: Polis akan memohon bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membuat penelitian terhadap akaun media sosial seorang lelaki yang didakwa membuat gangguan seksual terhadap seorang jurufoto wanita sejak lapan tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah merakam keterangan mangsa, Ahad lalu.
“Keterangan mangsa berhubung kejadian sudah diambil dan laporan polis juga sudah diterima.
“Buat masa ini, suspek masih dikesan dan kita minta bantuan daripada SKMM untuk membuat penelitian terhadap akaun media sosial suspek,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita meluahkan rasa penat dan marah selepas bertahun-tahun diganggu pengintip seorang lelaki.
Pendedahan itu dibuat oleh Acacia Diana dalam laman sosial miliknya yang mendakwa gangguan itu berlaku sejak 2016 dan disertakan pelbagai bukti hantaran mesej yang berunsur kandungan lucah dilakukan lelaki terbabit.
Sehubungan itu, kertas siasatan berhubung wanita terbabit yang menerima gangguan seksual daripada seorang lelaki tempatan secara dalam talian sejak tahun 2016 dibuka dan direklasifikasi semula.-UTUSAN