KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas ganja seberat 60.2 kilogram (kg) selepas menahan dua lelaki dalam serbuan di pekarangan pakir kereta sebuah pasaraya di Tunjong, di sini kelmarin.
Rampasan pukul 9.50 malam itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hasil maklumat risikan.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa serbuan dilakukan kedua-dua suspek yang berusia 24 tahun baharu keluar dari sebuah kereta jenis Honda Accord.
Menurutnya, anggota bertugas kemudian terus bertindak menahan kedua-dua suspek untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan pemeriksaan yang dilakukan ke atas kereta tersebut, polis telah menjumpai tiga bungkusan guni yang mengandungi ketulan ganja mampat seberat 60.2 kg.
“Selain itu, kita turut menyita wang tunai berjumlah RM500. Saringan air kencing yang dilakukan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya semasa sidang media di IPK Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, semakan turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, Polis Kelantan kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui bekalan dadah itu diperoleh.
“Kedua-dua mereka ini direman bermula semalam hingga 17 Julai bagi membantu siasatan. Kita tidak menolak kemungkinan dadah ini akan dihantar ke luar Kelantan.
“Jika terlepas ke pasaran, kita jangkakan lebih 60,000 penagih dapat menggunakannya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, sepanjang Op Tapis yang bermula 5 Julai hingga semalam pihaknya telah menangkap 377 individu berkait dengan kesalahan melibatkan dadah.
Katanya, daripada jumlah tersebut seramai 24 warga asing turut ditahan dalam operasi tersebut.-UTUSAN