KOTA BHARU: Polis Kelantan akan mengadakan perjumpaan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan semua Pengurus Pilihan Raya di seluruh 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat sebagai usaha memperkemaskan lagi gerak kerja menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pertemuan itu nanti akan digunakan sebagai panduan dalam memperkasakan lagi pengusan sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, selain itu pengalaman semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu turut dijadikan sebagai panduan dalam meningkatkan tahap penguasan.
“Kita telah mengaturkan gerak kerja berdasarkan maklumat yang sudah ada ketika ini untuk menentukan kekuatan anggota pada PRN itu nanti.
“Tujuannya, kita mahu tidak berlaku pertindahan tugas, sebaliknya mahu ia berjalan dengan harmoni mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, pihaknya akan menggunakan kekuatan yang ada pada PRN itu nanti.
Katanya, dengan pertambahan keanggotaan dari Bukit Aman ia akan melancarkan lagi penugasan sepanjang PRN.-UTUSAN