PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad yang kini dalam rangka siri ceramah di Malaysia minggu ini.
Menurut Perdana Menteri, dalam pertemuan itu, beliau dan pendakwah yang berasal dari Sumatera Utara itu turut membincangkan mengenai dinamika dakwah dan isu-isu agama yang merentas sempadan Alam Melayu.
“Saya hargai usaha dakwah Ustaz Abdul Somad yang aktif khususnya di alam Melayu. Sesungguhnya, para da’i dan ulama di alam Melayu ini saling mendukung dan melengkapi pemerintahan umara’ sejak sekian lama.
“Peranan ulama Melayu seperti Syeikh Daud al-Fatani, Syed Abdul Samad al-Falimbani , Raja Ali Haji dan Buya Hamka punyai hikmah, kedalaman ilmu dan berani dalam melaksanakan dakwah telah menyumbang kepada perjuangan melawan penjajah serta benteng kepada akidah umat di rantau ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Justeru, Perdana Menteri berkata, beliau dan Ustaz Abdul Somad juga bersependapat bahawa pentingnya dakwah yang berlandaskan kesederhanaan dan hikmah dalam menyampaikan mesej Islam dengan lebih bijaksana. -UTUSAN