PONTIAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimamkan solat jenazah Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, di sini pada pukul 11 pagi ini.
Solat jenazah itu disertai lebih 5,00 jemaah termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah.
Hadir sama menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyatrham yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram ialah kepimpinan parti politik, antaranya Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng; Naib Pengerusi Amanah, Dr. Dzulkefly Ahmad dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin
Terdahulu, anak sulung Allahyarham, Iskandar Zulkarnain, 37, turut berkesempatan mengimamkan solat jenazah buat Allahyarham sebelum ketibaan Perdana Menteri yang merupakan antara permintaan terakhir ketika Allahyarham.
Solat jenazah itu dilaksanakan beberapa kali bagi membolehkan lebih ramai jemaah menunaikan solat buat Allahyarham.
Dianggarkan lebih 1,000 orang, termasuk saudara mara dan masyarakat setempat hadir ke masjid berkenaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham. – UTUSAN