PKR buka permohonan, jemput ahli jadi calon PRN

PKR buka permohonan, jemput ahli jadi calon PRN

RAFIZI Ramli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PKR menjemput mana-mana anggota partinya yang ingin menawarkan diri sebagai calon pada enam pilihan raya negeri (PRN) untuk menghantar borang pencalonan mengikut kaedah yang ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Pusat parti. 

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, bermula Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas, PKR memulakan satu proses pemilihan calon yang demokratik, telus dan objektif. 

Katanya, dengan cara itu, PKR dapat meyakinkan bakat-bakat dalam kalangan anggota parti dan rakyat biasa untuk tampil menyahut seruan berkhidmat kepada masyarakat melalui platform parti itu. 

Ujarnya, proses yang telus itu juga penting bagi menyakinkan pengundi bahawa PKR sebagai sebuah parti reformasi sentiasa serius untuk menampilkan calon yang berkualiti dan berwibawa.

“Mana-mana anggota PKR yang berminat boleh menawarkan diri sebagai calon dengan mengisi borang dalam talian yang boleh dilayari melalui pautan www.calonkeadilan.org. Borang ini boleh diakses bermula hari ini sehingga tarikh tutup permohonan iaitu 10 Julai, pukul 5 petang.

“Antara syarat kelayakan yang perlu dipenuhi ialah individu yang memohon mestilah anggota PKR yang berusia 18 tahun ke atas, tidak muflis yang disahkan oleh Jabatan Insolvensi, tidak memiliki rekod jenayah (selain daripada sabitan melibatkan kepentingan rakyat) dan individu tersebut mesti mengisytiharkan harta serta bersedia untuk menandatangani bon ikrar setia sebagai wakil rakyat PKR,” katanya dalam kenyataan. 

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri pada 12 Ogos depan dengan tempoh 14 hari berkempen bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 29 Julai (Sabtu) sehingga 11.59 malam, 11 Ogos (Jumaat).

Selain itu, Rafizi berkata, kepemimpinan PKR di semua peringkat juga boleh menamakan calon-calon yang dipersetujui di peringkat jawatan kuasa masing-masing untuk diangkat kepada pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP). 

Katanya, proses itu terbuka kepada Jawatankuasa Cabang bagi kawasan yang ditandingi PKR, Majlis Pimpinan AMK Pusat (MPAMK) dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) PKR.

“Penamaan calon-calon oleh Cabang, MPAMK atau MPWP ini perlu dibuat secara rasmi dan disahkan melalui minit mesyuarat yang ditandatangani oleh semua ahli mesyuarat yang hadir. 

“Minit mesyuarat ini perlu diserahkan kepada Jawatankuasa Calon selewat-lewatnya pada pukul 5 petang, 10 Julai. 

“Perlu dingatkan bahawa semua nama yang dicalonkan oleh organisasi ini tetap perlu mengisi secara individu borang dalam talian kerana borang ini akan menjadi sumber utama untuk JPRP mendapatkan senarai calon,” katanya. 

Beliau menambah, memahami sentimen pengundi yang mahukan parti-parti menampilkan calon yang berkualiti, PKR menetapkan sebuah proses saringan calon yang adil dan telus.

“Proses saringan ini akan dikendalikan oleh sebuah Jawatankuasa Calon yang dipengerusikan oleh saya selaku Pengarah Pilihan Raya dan dianggotai oleh semua Naib-Naib Presiden PKR seramai tujuh orang.

“Seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Parti, kuasa untuk memilih calon adalah hak mutlak Presiden PKR. Justeru, Jawatankuasa Calon bertanggungjawab untuk membuat penapisan dan menyenarai pendek tiga calon terbaik untuk diangkat kepada Presiden PKR yang seterusnya akan memuktamadkan satu nama sebagai calon,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya